Sinar HarianBerita  Harian OnlineUtusan  OnlineHarakahSabahdailyThe Star  MelayuSuara  KontemporariHarian  Metro Online SabahkiniBernama  NewsNst OnlineMalay Mail The StarSinar   HarianAljazeera EnglishThemalaysianinsider Republika OnlineTranungkite

http://www.stormreaders.net/abuierfan

Ustaz Nor Amin

Anda hebat ! sahut cabaran saya

Read More......

Orang IKHLAS itu Tertindas ?

 Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa… betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak…

Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian, keseimbangan…

Lalu di pagi Jumaat ini, saya tulis satu kisah lama… sekadar untuk mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?

Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar daripada itu… benar-benarkah kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati kita ketika melalukan kebaikan kepada sesorang atau sesuatu pihak?

Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas…Amin.

Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah muhasabah di pagi Jumaat yang barakah ini…

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Read More......

Di mana kita ?

Saya tertarik untuk berkongsi cerita pada pagi ini. Semoga berita ini akan memotivasikan kepada kita khususnya yang berada di Borneo. Semoga dengan paparan kisah ini akan menjadikan diri kita berlumba-lumba untuk melaksanakan kebaikan. Insya Allah.

Pada 4/5/2010 (Selasa Pukul 10.00 pagi) saya dikejutkan dengan satu panggilan memberitahu anak saudara saya (anak abang) talah meninggal kerana mati lemas ketika keluar berdakwah selama 40 hari mengikut Jemaah Tabligh ke pendalaman Sabah. Tempat sebenar kejadian di Daerah Beluran, lebih kurang 21/2 jam perjalanan ke Bandar Sandakan.

Remaja ini bernama Muhammad Huzaifah Bin Muhammad Huzazi. Berumur 21 tahun. Pelajar Ijazah Teknologi Alam Sekitar, Universiti Malaysia Terengganu. Kami berusaha membawa balik ke rumahnya di Sabak Bernam secepat mungkin. Namun kerana peraturan dan dokumentasi, jenazah hanya berjaya di bawa balik pada keesokan harinya. Tiba di Masjid Sri Petaling sebaik sahaja solat Asar berakhir.

Sebaik sahaja kain kapan di buka saya melihat wajahnya seperti sedang tidur tanpa menunjukkan kulit pucat dan kaku seperti kebiasaan mayat. Saya teringat beberapa hadis yang memberikan tanda-tanda orang yang mati dalam keadaan baik(Husnul khatimah). Antaranya dahi berpeluh. Saya cuba mengusap dahi dan mukanya memang terasa berpeluh dan lembab. Darah juga masih mengalir segar. Ketika saya cuba menggantikan kapas di mulutnya kerana kapas tersebut telah penuh dengan darah, saya terkejut kerana darah segar merah masih keluar dari mulutnya dan mengenai kapas baru. Saya menyangkakan dia seperti masih hidup. 

Ramai jemaah selepas solat asar juga bertanya adakah benar dia sudah mati kerana nampak seperti sedang tidur. Ketika ibunya ingin menciumnya untuk kali terakhir, ibunya tertekan dadanya. Sekali lagi darah merah cair keluar dari mulutnya. Mengikut kelaziman, selepas hampir 2 hari dan disimpan didalam peti ais jenazah ketika menunggu untuk dihantar pulang, sudah tentu mayat menjadi beku dan pucat. Darah pun sudah tentu telah menjadi beku dan mati.

Namun kebesaran Allah s.w.t dan janjinya memang benar. Ketika manusia berlumba-lumba mengejar keduniaan, masih kedapatan manusia-manusia yang terpilih untuk mati syahid.

Saya terpanggil menulis dan berkongsi cerita ini kerana dalam keadaan sosial para remaja yang semakin larut dengan budaya barat, marilah kita mengajak diri kita, anak2 dan kaum keluarga untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar dan mengamalkan amal-amal Islami secara bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan suatu hari nanti kita akan TERPILIH dalam golongan orang-orang yang mati syahid di jalan Allah s.w.t.

Mengikut Ayahnya, Ayah angkatnya dan rakan2 universitinya, Huzaifah ini seorang remaja sangat berakhlak. Setiap masa terluang dihabiskan dengan berkunjung ke masjid dan surau bagi menunaikan ibadah dan kerja-kerja agama. Malahan sebahagian wang pinjamannya PTPTN; selain dari untuk yuran pengajian, digunakan untuk dakwah dan kerja-kerja agama. Malahan beliau beberapa kali memberitahu kepada ayahnya yang setiap kali cuti semester panjang, beliau akan ke Sabah kerana disana terlalu ramai orang sudah tinggal kan Islam (Murtad) dan jika masih Islam pun tapi tiada amalan Islam. Masjid dan surau kosong tiada jemaah.
Ketika selepas sembahyang Subuh hari sebelum beliau meninggal lemas ketika mandi di sungai, beliau telah berpesan kepada rakan-rakannya supaya meneruskan usaha dakwah dan mengembalikan orang-orang yang jauh daripada Islam kepada Islam semula. Amat mengagumkan dan membuatkan saya terasa amat kerdil dan tiada nilai.

Semoga roh beliau ditempatkan dalam golongan syuhada sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
PERSOALANNYA, diri kita, keluarga dan anak-anak kita bagaimana? adakah telah pasti terselamat dari seksa alam akhirat? sama-sama kita renungkan.

** gambar2 diambil ketika jenazah sampai di masjid sri petaling.





Rujukan Hadis 1:
Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: ” Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya.
1. Pemimpin yand adil;
2. pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT ;
3. seseorang yang hatinya terpaut pada masjid;
4. 2 lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT;
5. lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah;
6. seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya;
7. dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT. Hadis Riwayat Muslim

Rujukan Hadis 2:
MENINGGAL DENGAN BERPELUH DI DAHI.
Buraidah ibnul Hushaib radhiyallahu’anhu ketika berada di Khurasan menjenguk saudaranya yang sedang sakit. Didapatkannya saudaranya ini menjelang ajalnya dalam keadaan berkeringat di dahinya. Ia pun berkata, “Allahu Akbar! Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Meninggalnya seorang mukmin dengan keringat di dahi.” (HR. Ahmad, An-Nasa`i, dll. Sanad An-Nasa`i shahih di atas syarat Al-Bukhari) 

(semoga paparan ini menjadi pemangkin untuk terus melibatkan dan mengandakan usaha dakwah)

Read More......

Ingatan kepada semua guru-guru " Selamat Hari Guru "


Dedikasi untuk guru Ku

Kini anak didikmu juga telah menjadi guru

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ' Selamat Hari Guru ' kepada semua guru-guru yang telah mengajar saya sehingga saya berada pada kedudukan ini. Tanpa mereka siapalah saya pada hari ini. Berikut adalah senarai sekolah yang pernah saya belajar :
  1. SK Sungai Sireh Tg Karang ( 1983 - 1988 )
  2. SR Agama Sungai Sireh ( 1986 - 1988 )
  3. SAM Seri Desa Tg Karang ( 1989 - 1994)
  4. Kolej Islam Sultan Alam Shah ( 1995 - 1996 )
  5. Universiti Malaya ( 1998 - 2002 )
  6. Institut Perguruan Sarawak Miri ( 2005-2006 )
Terima kasih kepada semua guru-guruku, di atas tunjuk ajar dan didikan kalian, akhirnya kini saya juga bergelar guru.  Setakat saya menulis ini, sudah masuk tahun ke 6 bergelar guru, murid-murid yang pernah belajar dengan ku sudah melebihi 300 orang. Alhamdulillah. Semoga akan terus istiqamah mengajar anak-anak dengan tekun dan ikhlas, kerana selepas kematian, hanya ilmu yang bermanfaat yang diajar kepada anak-anak sebagai penyambung amalan di alam kubur. Semoga Allah mengurniakan niat yang ikhlas bagi ku.

Di doakan juga kepada semua guru-guruku agar beroleh kesihatan yang berpanjangan, dan sekiranya sudah menamatkan perkhidmatan pendidikan semoga terus bahagia bersama keluarga. Kepada guru-guruku yang telah kembali menemui Allah, saya doakan agar tenang berada di sana, dan semoga Allah mengurniakan keampunan dan keredhaan di atas usaha mendidik dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak-anak.

Semoga semua guru yang sedang bergelar guru, terus ISTIQAMAH menyampai ilmu pengetahuan kepada anak-anak dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. 

Read More......

Seminar Ekonomi Islam 2010


Penyertaan yang menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat
Bintulu – 8 Mei, Seminar Ekonomi Islam anjuran Biro Ekonomi Yayasan Amal Malaysia dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak, Bintulu Iqra’ Center dan Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu telah berjaya diadakan di Bilik Seminar Pusat Islam. Tahniah kepada AJK pelaksana yang diketuai oleh saudara Mohd Hafeiz selaku kerana telah berjaya mengadakan program ilmiah yang sangat berguna untuk semua lapisan masyarakat Islam.
Seramai 70 orang bilangan peserta yang terdiri daripada kakitangan awam, swasta, suri rumah dan remaja telah mengikuti seminar ini yang banyak membicarakan berkenaan muamalat dan kewangan Islam. Barisan tenaga penceramahnya pula merupakan orang yang mempunyai kepakaran dan pengalaman di dalam menyampaikan perkara tersebut.
Apa pun kita harapkan agar program sebegini akan diperbanyakkan dan perlu dibuka untuk agensi-agensi lain pula sebagai penganjur. Terima kasih juga kepada peserta yang memberi kepercayaan kepada Yayasan Amal Malaysia dan Bintulu Iqra’ center untuk menganjurkan program ini dan ucapan terima kasih yang tidak  terhingga kepada pihak JAIS dan Pusat Islam yang telah banyak membantu untuk menjayakan program ini.
Kongsi gambar-gambar menarik :

Kongsi gambar-gambar menarik :
Sewaktu pendaftaran peserta

Taklimat kepada para peserta oleh Saudara Mohd Hafeiz

Pengerusi Majlis yang cemerlang semasa mengacarakan majlis, tahniah

Ucapan YAM oleh Timb. Pengerusi

Tetamu VIP semasa Majlis Penutupan ' Seminar Ekonomi Islam '

Cenderamata kenangan dari pihak penganjur kepada Warisan Mukmin

Antara menu yang disediakan oleh Katering Abang Mat & Kak Jan

Kaunter pertanyaan dan pendaftaran untuk wasiat

Wartawan yang cemerlang " Ke-el " Tahniah !


Read More......

Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Ahmad telah kembali ke Rahmatullah


Petang tadi saya menerima mesej yang mengkhabarkan bahawa Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Ahmad telah kembali ke rahmatullah. Saya agak tak percaya dan meminta kepastian daripada sahabat saya, Dr. Faisal Ahmad Shah, rakan sekerjanya dan beliau mengatakan benar Dr. Rashid telah meninggal dunia pada jam 4 petang tadi. Dr. Rashid adalah pensyarah Jabatan Al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan saya pernah menjadi pelajar beliau sewaktu kelas master dahulu sekitar tahun 2003. Saya hanya mengucap istirja’ dan       terkenang masa-masa kelas pengajian beliau suatu masa dahulu.


Ada di antara pandangannya yang kami tidak setuju. Setelah mengetahui bahawa beliau berkelulusan daripada Arab Saudi, maka kami pun faham. Namun, sebagai guru kami tetap menghormatinya. Perbezaan pendapat dalam masalah yang menjadi khilaf di antara ulama ini memang perlu dihadapi dengan bijak, di samping memelihara adab-adabnya. Semasa buku beliau ‘Surah Luqman: Mendidik Anak Cemerlang’ (2003, Utusan Publications) terbit, saya masih meminta beliau agar menandatangan pada buku tersebut. Meskipun di dalamnya beliau menghuraikan tauhid menurut mazhab Taymiyyin. Apa yang perlu dilakukan sekarang hanyalah berdoa semoga rohnya dilimpahi rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama dengan orang-orang soleh.


Dr. Rashid adalah anak kelahiran Sik, Kedah pada tahun 1953, dan berkelulusan BA. (Hons), Universiti Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh, Arab Saudi (1983), MA., Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), (1990) dan Ph.D., Universiti Malaya (UM) dengan tesisnya ‘Tafsir al-Nasafi dan Tafsir al-Jalalayn; Suatu Kajian Perbandingan’ (2003). Selain penulisan artikel, beliau turut pernah menterjemahkan kitab al-Sirah al-Nabawiyyah karya Dr. Mustafa Al-Siba’i dan diberi judul ‘Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW: Kajian dan Pengajaran’ (2001) dan kitab Manhaj al-Firqah al-Najiyah oleh Syeikh Jamil Zeno (1996). Karya beliau yang lain ialah Falsafah dan Asas-asas Pendidikan Islam (1996), selain siri tafsir al-Quran yang diterbitkan dalam akhbar secara tetap.


Read More......

Pelayaran Kehidupan

© 2009 Pelayaran Kehidupan. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan Pelayaran Kehidupan melainkan dinyatakan sebaliknya. Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Pelayaran Kehidupan adalah hak milik mutlak empunya. Salinan dari artikel yang dikeluarkan perlu mendapat kebenaran dari admin Pelayaran Kehidupan.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP