Sinar HarianBerita  Harian OnlineUtusan  OnlineHarakahSabahdailyThe Star  MelayuSuara  KontemporariHarian  Metro Online SabahkiniBernama  NewsNst OnlineMalay Mail The StarSinar   HarianAljazeera EnglishThemalaysianinsider Republika OnlineTranungkite

http://www.stormreaders.net/abuierfan

Ustaz Nor Amin

Berpisah jua akhirnya



2005 - 2010 merupakan tempoh yang kami sekeluarga sentiasa bersama dengan Ustaz Salehuddin. Mulai tahun 2011, Ustaz Salehuddin tidak lagi bersama-sama kami di Bintulu. Beliau telah memohon untuk ke Bangi. Semoga segala pengorbanan ustaz semasa di Bintulu akan akan diganjari oleh Allah dengan ganjaran yang besar. Pihak kami sekeluarga dan rakan2 lain sentiasa mendoakan Ustaz akan cemerlang di dalam pelajaran dan dipermudahkan segala urusan.

Sekiranya ada masa2 terluang nanti, sudi2kan lah bertandang lagi ke Bintulu. Ierfan sentiasa mengingati Ammar Nabhan dan Asma' Solehah.

Read More......

Ibadah Korban dan Perasmian Surau AMAL Al Azhar Ulu Kota



Pasukan sukarelawan BIC dan AMAL Sarawak telah berjaya melakukan ibadah korban dan sekaligus melakukan upacara perasmian Surau AMAL Al Azhar Ulu Kota, Pakan. Seramai 20 orang sukarelawan telah bersama-sama menjayakan misi kali ini dengan menaiki 4 buah pacuan 4 roda.

Semua peserta berkumpul di BIC bermula jam 11 malam ( 19 Nov 2010). Selepas taklimat dan doa, semua peserta bergerak menuju ke Sarikei. Tiba di Masjid Sarikei seawal jam 5.15 pagi dan terus menunaikan Solat Subuh. Selepas itu para peserta mengurus diri di Tadika ABIM.

Pukul 9 pagi, semua peserta bergerak menuju ke ladang skim B untuk memilih lembu untuk disembelih . Tepat jam 10.15 pagi, lembu telah berjaya disembelih oleh Ust Zainol Fakri. Selesai memproses lembu lebih kurang jam 11.30 pagi kami semua bergegas menuju ke Ulu Kota kerana dikhuatiri jika lambat bergerak, ditakuti hujan akan turun yang memungkinkan kami tidak dapat sampai ke puncak bukit dengan menaiki 4WD. Kalau berjalan kaki mengambil masa 2 jam pendakian.

Alhamdulillah, kami selamat tiba di Ulu Kota pada pukul 2.00 petang. Perjalanan sangat mencabar. Menaiki dan menuruni bukit di dalam keadaan jalan yang licin. Sangat mencemaskan bagi sukarelawan yang baru pertama kali sampai ke Ulu Kota.

Penduduk kampung Ulu Kota telah bersedia menunggu kedatangan kami. Petang itu, gotong royong melapah dan memasak makanan diketuai oleh Tuan Haji Kadir dan isteri dan dibantu oleh sukarelawan lain.

Sebahagian sukarelawan telah pergi ke rumah panjang untuk menjemput masyarakat rumah panjang untuk bersama-sama ke majlis perasmian pada sebelah malamnya. Alhamdulillah, kehadiran pada malam itu amat memberangsangkan, meskipun hujan lebat.

Majlis pada malam itu dimulai dengan Solat Maghrib dan seterusnya Tazkirah bersama Ustaz Akhwan Afandi seterusnya taaruf ahli dari peserta rombongan. Majlis perasmian dilakukan selepas solat Isyak dengan dipengerusikan oleh Ust Fadzli dari HIKMAH. Saudara Azhar memulakan ucapan, kemudian diikuti ucapan dari Wakil AMAL Pusat En Johari. Seterusnya majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh Tuan Haji Omar Bin Shuib, Penasihat BIC. Pihak BIC dan AMAL juga telah menyampaikan sumbangan beras, al-Quran, barang persekolahan dan pakaian. Majlis ini dimeriahkan oleh Ust Mawi@ Akhwan Afandi yang membuat persembahan dengan membawa lagu Jamal Abdillah. Telatah Ust Akhwan Afandi sangat menghiburkan masyarakat Ulu Kota.

Selepas solat subuh, para sukarelawan telah bergotong royong membersihkan surau dan mengurus diri sebagai persiapan untuk pulang ke tempat masing-masing. Nasib kami agak baik kerana 4WD kami telah diletakkan di atas bukit yang memudahkan untuk kami bergerak pulang. Sekiranya masih diletakkan di bawah, nampak gayanya tak dapat keluar kami pada pagi itu, kerana hujan lebat pada sebelah malamnya.

Pihak AMAL Sarawak dan BIC mengucapkan jazakumullahu khairan khathira kepada semua sukarelawan di dalam Program Ziarah Dakwah, Korban dan Aqiqah serta perasmian Surau AMAL Al Azhar Ulu Kota bermula 19-21 Nov 2010. Semoga segala sumbangan kita akan diterima oleh Allah sebagai amal kebaikan dengan syarat ikhlas kerana Allah. Setinggi-tinggi penghargaan kepada penasihat BIC Tuan Haji Omar Shuib di atas kesudian untuk bersama-sama sukarelawan kali ini. Tidak ketinggalan juga wakil AMAL Pusat iaitu En Johari, En Hanif dan Ustaz Akhwan Afandi. Insyallah ada kesempatan kita akan bersama lagi untuk membuat misi di tempat dan waktu yang akan ditetapkan oleh pihak AMAL Sarawak. Siiru ala barakatillah...

Read More......

Miliki kedai buku sendiri


Berminatkah anda untuk memiliki kedai sendiri ? Jika anda berminat boleh menghubungi saya. Anda hanya perlu mengiklankan kedai anda melalui internet. Kedai serba serbi lengkap. Jika anda tidak yakin atau belum tiba masanya lagi, anda boleh melayari kedai saya di sini : http://www.stormreaders.net/abuierfan

Anda juga boleh membeli di kedai saya secara online. Caranya mudah, ikut langkah berikut :
  1.  Klik pada url ini http://www.stormreaders.net/abuierfan
  2. Daftar nama anda sebagai pengguna
  3. Pilih buku yang dikehendaki
  4. Buat pembayaran setelah selesai pembelian
  5. Buku anda akan dihantar ke depan pintu rumah anda
Senangkan ?..Jika hendak seribu daya, kalau tak mau pelbagai alasan. Cepat ! mari kita menjadi HEBAT dengan orang yang rajin membaca buku.

Read More......

Ziarah Imam Muda Hizbur Rahman ke Bintulu


Menara LPB
Masjid Assyakirin
Ceramah di UPM
Santai petang
Photobucket
Photobucket


Sudah lama tak berkesempatan untuk mengemaskini blog ini. Kesian blog ini, macam tak berpenghuni je. Pemiliknya mempunyai tugasan yang banyak. Insya Allah kali ini saya akan kemaskini berkenaan dengan ziarah Imam Muda Hizbur Rahman ke Bintulu. Alhamdulillah, saya sempat mengatur program bersama Imam Muda Hizbur Rahman sepanjang kunjungan beliau ke sini. Beliau telah berada di Bintulu pada 30 Okt - 2 Nov yang lepas. Sebenarnya beliau datang ke Bintulu atas urusan keluarga untuk menziarahi kakak beliau yang baru selamat melahirkan anak sulong.

Alhamdulillah, beliau telah sudi menerima pelawaan pihak kami untuk mengadakan beberapa program. Antara program yang sempat kami adakan ialah Kem Ibadah dan Sahsiah ( KIDS 2010), Kuliah Mahrib di Masjid UPM, Kuliah Subuh di Masjid Darul Hidayah dan Surau Attaqwa dan sempat juga melawat menara LPB di Kidurong. Meskipun ziarah beliau ke Bintulu singkat masanya, tetapi banyak program dapat di atur. Pihak kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ustaz Hizbur Rahman dan keluarga di atas kesudiaan menerima jemputan dari pihak kami, meskipun tiada perancangan awal terlebih dahulu. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa baik pihak Ustaz sekeluarga. Insya Allah, jika ada masa dan kelapangan, harap ustaz sudi lagi untuk menerima jemputan dari pihak kami.

Read More......

Majlis Mahabbah Aidilfitri BIC 2010

Rakan-rakan BIC dan YAM Bintulu


10 Okt 2010 - BIC, Yayasan AMAL Malaysia dan MACMA berjaya mengadakan Majlis Mahabbah Aidilfitri 1431H/2010 di rumah rehat Lembaga Pelabuhan Bintulu di Kidurong. Majlis bermula jam 10 pagi itu dengan dihadiri oleh rakan-rakan, NGO, pertubuhan , jabatan dan agensi kerajaan dan swasta.

Objektif majlis ini diadakan ialah untuk memperlihatkan kebersamaan dan kesatuan dengan agensi-agensi yang turut serta dan berminat di dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan kebajikan. Selain itu juga bagi pihak BIC dan YAM juga ingin mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak - pihak yang memberi sokongan dan sumbangan kepada BIC dan YAM di dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan ini.

Moga-moga dengan pengajuran program dan aktiviti ini, pihak BIC dan YAM akan mengandakan usaha untuk memberikan sumbangan dan bakti kepada masyarakat selaras dengan objektif penubuhan BIC. Kepada mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan kepada pihak BIC dan YAM untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan amat-amat di alu-alukan.


Untuk lihat foto sila klik di sini : Klik !!

Read More......

Surau AMAL Al-Azhar Ulu Kota

  pemandangan Surau AMAL Al-Azhar

( Gambar ini diambil pada awal Julai yang lepas. Gambar yang terbaru masih belum diperolehi. 
Insya Allah akan diusahakan untuk paparan umum )

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. 
Awal pagi tadi saya telah dihubungi oleh Saudara Azhar Abdullah, ketua kaum penempatan orang Islam di Ulu Kota. Sesuatu yang mengembirakan bila surau yang kami usahakan untuk masyarakat Islam di Ulu Kota Pakan telah siap dan boleh digunakan bermula petang ini. Jarak perjalanan lebih kurang 1/2 hari perjalanan untuk sampai ke sana tidak menghalang kami untuk sampai ke sana dengan niat untuk membela saudara kita yang dihalau dari penempatan asal mereka.

Sepatutnya projek ini siap Ramadhan tahun lepas, tetapi oleh kerana terdapat banyak halangan dan rintangan samada dari pihak kontraktor, barang-barang yang tak mencukupi, jauh perjalanan untuk sampai ke sana dan pelbagai halangan yang lain, dengan izin Allah, projek ini dapat disiapkan tahun ini. Semua perkara ini adalah ketentuan ilahi yang tidak dapat diatasi oleh makhluk yang bernama manusia. Kita sebagai makhluk kena redha di atas ketentuannya.Saya selaku pengurus projek mewakili masyarakat Islam Ulu Kota, Yayasan Amal Cawangan Sarawak dan Bintulu Iqra' Center mengucapkan jazakumullah khu khairan khathira kepada semua penyumbang dan penderma-penderma sehingga tertegaknya rumah Allah, nun jauh di ulu sana. Mudah-mudahan dengan berdirinya rumah Allah ini, masyarakat di sana akan lebih tekun dan bersungguh-sungguh untuk mengamalkan Islam secara keseluruhannya.

Diharap segala usaha kalian yang membantu, samada usaha dari wang ringgit, harta benda, buah fikiran dan seumpamanya akan dihisab oleh Allah dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Insya Allah.

Read More......

`Ahlan Wa Sahlan Ramadhan al-Mubarrak `


"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).

Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi. Kami sekeluarga bersyukur atas nikmat kurniaan Ilahi yang memberi kesempatan dan peluang bertemu dengan tetamu agung, Bulan Ramadhan yang penuh berkat. Mudah-mudahan dikesempatan bertemu dengan Ramadhan ini akan kita gandakan ' speed gear ' untuk mengejar keampunan untuk mendapatkan rahmat dari Ilahi.

Kami berdoa agar diberi kekuatan dan kesihatan agar dapat mengerjakan amal ibadah dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan dengan nya, tahun ini akan bertemu dengan Lailatul Qadar. Insya Allah.

Read More......

Ceramah keibubapaan bersama Dr. Danial Zainal Abidin

  Ustaz Aminuddin membaca doa pembukaan majlis


Cikgu Rafaie sebagai pengacara majlis


 Kehadiran para ibu


Kehadiran para bapa-bapa


ceramah Dr Danial Zainal Abidin, berjaya memukau pendengar


Cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan dari pihak penganjur


sewaktu menghantar yang berbahagia Dr Danial Zainal Abidin
untuk pulang ke Kuala Lumpur. Insyallah ada kesempatan kita berjumpa lagi, nanti Insyallah.


JAKSA dengan kerjasama JAIS Bintulu, Tabung Baitulmal Sarawak, JIM telah berjaya mengadakan siri ceramah motivasi dan kesedaran pada 27 Jun 2010 yang lalu untuk para ibubapa yang bertempat di Dewan Suarah Bintulu . Penceramah jemputan yang diundang adalah seorang penceramah  yang terkenal iaitu Dr Danial Zainal Abidin. Kehadiran para ibubapa dan para guru amat memberangsangkan sehingga memenuhi keseluruhan Dewan Suarah.
Pihak penganjur mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas sokongan dan kerjasama dari semua agensi-agensi yang turut berusaha membantu bagi menjayakan program ini sehingga dapat dilaksanakan dengan baik. Sesungguhnya, pihak penganjur mendoakan agar apa jua sumbangan yang telah diberi ini akan mendapat keredhaan dari Allah.
Program bersama Dr Danial Zainal Abidin yang telah diadakan sepanjang 2 hari bermula 26 – 27 Jun 2010 ini, melibatkan beberapa kelompok sasaran iaitu para pelajar, guru-guru dan  ibubapa. Semua yang terlibat sebagai peserta menzahirkan rasa berpuashati terhadap apa yang telah disampaikan oleh yang berbahagia Dr. Danial Zainal Abidin. Kebanyakan warga Muslim Bintulu mengharapkan akan ada lagi cerdik pandai, ulama’ yang sudi untuk datang ke Bintulu untuk menabur ilmu kepada warga Muslim Bintulu.
Pihak penganjur, mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada agensi-agensi  yang bersama-sama membantu bagi menjayakan “ Program bersama Dr Danial Zainal Abidin” . Pihak-pihak yang turut serta membantu perjalanan program ini ialah, JAIS Bintulu, Pusat Islam UPMKB, Tabung Baitulmal Sarawak, JIM, BIC, PPI SMK Bandar, BAHARIS, Masjid Assyakirin, Masjid Darul Hidayah  dan orang perseorangan yang turut membantu. Sesungguhnya jasa kalian tidak mampu untuk dibalas, hanya Allah sahaja yang mampu membalas dengan ganjaran pahala yang setimpal dengan usaha kita. Insyallah.

Read More......

Ikhtibar dari kisah kematian

Cerita 1 : Meninggal Dunia Ketika Lepas Solat Asar

Ustaz (di sini saya namakan Ustaz M) yang diamanahkan untuk mengendalikan kursus jenazah ini sudah berpengalaman hampir 10 tahun dalam mengendalikan urusan mandi jenazah di sekitar Lembah Kelang dan Malaysia. Beliau amat terkenal dikalangan jemaah masjid di sekitar lembah Kelang ini. Malah beliau juga selalu berulang-alik ke merata negeri seperti pantai timur semenanjung dan utara selatan untuk menguruskan mana-mana jenazah yang dibawa ke masjid yang memerlukan khidmat tangan beliau. Saya nak mulakan kisah ini dengan kisah yang pertama. Kisah ini berlaku pada seorang imam di selatan KL yang meninggal dunia ketika lepas solat Asar.

cid:002001caf0eb$81c6ca30$0c0010ac@RuhaizahPC
Imam tersebut meghembus nafasnya yang terakhir sebaik sahaja selesai memberi salam yang pertama.

Subhanallah! Matinya dalam keadaan yang amat murni. Murni di sini maksud saya, matinya bukan dalam keadaan berbuat maksiat pada Allah SWT. Mati ketika habis solat dan masih di atas tikar sejadah dan sedang beribadah!

Jenazahnya telah di bawa ke hospital X untuk urusan pemeriksaan rutin (medical check-up) dan urusan-urusan lain yang perlu untuk pengurusan pengkebumian.

Pihak hospital X telah memanggil ustaz M untuk urusan mandian jenazah. Maka bergegaslah ustaz M ke hospital untuk urusan tersebut sebab bagi beliau, jenazah yang hendak dimandikan ini begitu istimewa pada pandangannya, kerana roh si mati telah dicabut oleh malaikat Izrael ketika mana sedang mengimami solat!

Sebaik sampai di hospital, ada sedikit masalah yang timbul. Pihak hospital telah mendapati bahawa jenazah imam tersebut tidak mempunyai sebarang pengenalan diri, dan pihak hospital atas bantuan rakan-rakan jenazah mendapat tahu, jenazah imam ini adalah meupakan orang luar. Maknanya seorang imigran, yang bermastautin di negara kita.

Rentetan daripada kes ini, pihak hospital X terpaksalah menyimpan dahulu jenazah tersebut untuk beberapa hari bagi urusan dokumentasi dengan pihak berwajib sehinga selesai dan kemudian itu barulah segala urusan yang berkaitan pengebumian akan dilaksanakan. Yang pasti terkilannya sudah tentu ustaz M. Kerjanya sudah sedikit terbantut pada hari itu. Sebelum itu, hatinya sudah pun begitu berbunga untuk menguruskan jenazah imam yang dimuliakan Allah SWT ini. Tentu ada kelebihan tersendiri kenapa imam tersebut pengakhiran rohnya di atas tikar sejadah!

Maka, jenazah imam tersebut pun dimasukkanlah ke dalam ‘freezer’ (maaf, saya tak tahu apa istilah pembeku mayat ini) di dalam bilik mayat hospital X buat sementara waktu. Lapan hari berlalu. Ustaz M dah mula nak melupakan pasal jenazah imam ini. Tapi, dengan takdir Allah SWT, hari ke-9, telefon bimbit ustaz M berbunyi.

“Nampak macam no hospital nie”, getus hati ustaz M. "Hello, ustaz M ye?”… satu suara bertanya. “Ya, ustaz M bercakap”. “Ustaz ingat lagi tak mayat imam yang meninggal masa solat Asar tempohari?”, sang suara meminta kepastian. “Imam…imam. …yanng mana satu….ermm. .oh…ya. .ya..ingat. .ingat… “, ustaz M memberi kepastian dalam ingat-ingat lupanya.  “Dokumen dah siap, boleh ustaz datang sepital, uruskan tak?”, beritahu sang suara ringkas.
“Ok..ok…, sekarang juga aku bergerak, setengah jam lagi aku sampai! “, balas ustaz M.

Lega hati ustaz M. Dapat juga dia uruskan mayat tersebut setelah beberapa hari ‘pending’. Ingatkan dah tak jadi apa-apa dah. Lama bebenor pihak hospital nak mengurus kan dokumennya.

Sampai di hospital, ustaz M yang baru tiba diarahkan ke bilik mayat. Di bilik mayat telah ada beberapa orang saksi di kalangan pegawai hospital dan juga polis serta saksi-saksi lain termasuk rakan-rakan jenazah imam tersebut. Semua saksi ini diperlukan kerana inilah ‘prosedur’ yang telah ditetap oleh pihak berwajib. Sebab jenazah dah berhari-hari di situ. Tambahan pula jenazah orang luar.

Bismillahir Rohmaanir Rohiim…… Dengan bersaksikan mata sekeliling yang memandang, ustaz M menarik ’stretcher ‘ peti sejuk beku mayat tersebut dengan perlahan-lahan. Subhanallah! Mayat imam ini masih lagi segar merah. Mayat ini juga berpeluh! Macam mana simpan dalam peti ais berhari-hari boleh berpeluh? korang tak payah jawablerrr.. .

Seolah-olah imam ni baru aje meninggal sebentar tadi. Mayatnya tidak keras dan tidak pula membeku! Macam orang sedang tidur. Ustaz M kelu lidahnya. Begitu juga orang di sekeliling.
Istimewa sungguh mayat ini. Kalau daging mayat biasa dah lama mengeras dan membeku. Masya-Allah! Sekali lagi perkara pelik berlaku…terdapat pula pada dahi jenazah imam ini, tertera satu kalimah tauhid iaitu perkataan “ALLAH”!

Semua orang di sekitar dapat menyaksikan peristiwa ini. Tiada perkataan lain yang keluar dari mulut mereka melainkan tasbih memuji Allah SWT meniti di bibir masing-masing di atas apa yang berlaku.

Semakin bersemangatlah nampaknya ustaz M nak menguruskan jenazah tersebut. Yerlah, siapa yang tak suka pada sesuatu yang molek dan membahgiakan kan?….

Jenazah imam itu dimandi, dikapan dan disembahyangkan dengan segera sebagaimana biasa. Semua proses ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Semuanya berjalan amat mudah. Allah SWT telah pun memuliakan jenazah imam ini di dunia lagi atas jasa-jasa dia yang Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Mengikut ustaz M lagi, lepas semua tu selesai, dia ada juga bertanya pada rakan-rakan Allahyarham apa yang diamalkan oleh Allahyarham semasa hidup sehingga mendapat pengiktirafan yang begitu tinggi daripada Allah SWT masa kematiaanya.

Jawapan yang didapati daripada rakan-rakannya ialah selain daripada seorang yang berbudi pekerti mulia dan seorang imam yang baik, amalan semasa hidupnya ialah tidak pernah tinggal bangun malam dan bersolat tahajjud. Semua amalan ini dilakukkanya secara istiqamah. Ditambah pula oleh amalan-amalan lain yang tidak dapat dilihat oleh rakan-rakan arwah, yang mana hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahuinya.

jenazah

CERITA 2 : MENINGGAL KETIKA BACA KHUTBAH JUMAAT

Ustaz M pada kursus hari kedua telah bercerita tentang seorang imam yang meninggal ketika sedang membaca khutbah pada solat Jumaat.

Kursus hari kedua ni bermula jam 9.15 pagi. Sebelum memulakan kursus, ada jemaah yang kelihatan sedang mendaftar semula kat meja pengelola, ada jemaah yang mundar mandir sambil menunggu ketibaan Ustaz M, ada yang solat sunat Dhuha. Ada yang duduk2 berborak dan berkenalan antara satu lain dan ada yang nampak berzikir. Maklumlah yang datang kursus ni bukannya sedikit. Hampir 180 orang kesemuanya. Ustaz M cakap, inilah kursus pengurusan jenazah yang paling ramai yang dia kendalikan. Sebelum ni, paling ramai pun yang berkursus adalah dalam lingkungan 50 - 60 orang sahaja. Luar biasa ramainya, puji beliau.

Ustaz memulakan kursus dengan sedikit ucapan alu-aluan. Kemudian, dia ada menyentuh sikit tentang solat sunat Dhuna. Sebab sebelum tu ramai juga jemaah yang solat sunat Dhuha. Solat sunat Tahiyyatul-Masjid sudah pasti. Meneyentuh tentang solat sunat dhuha ni, Ustaz M memulakan cerita.

Berlaku di sebuah masjid di selatan ibu Kota Kuala Lumpur. Masa tu, hari Jumaat. Solat Jumaat sudah dimulakan pabila bilal melaungkan azan dan sejurus kemudian imam naik ke mimbar untuk mula membaca khutbah. Imam kali ini ialah seorang pemuda yang berusia 28 tahun. Muda lagi dan sudah berkahwin. Jemaah di situ memang sudah arif sangat dengan imam ini.
Imam ini memulakan khutbahnya. Sampai pada perkataan, “Uusyikom Bitaqawallah, Waihyaa….. ……… ……… .”. Tiba-tiba imam ini terdiam….

Semua para jemaah diam (memang dengar khutbah kena diam pun) dan hanya memerhati sahaja ke arah imam. Semua mata tertumpu kepadanya.

Imam masih lagi senyap. Matanya terpejam rapat. Tidak bergerak. Suasana hening seketika. Kedengaran sekali sekala bunyi enjin kenderaan motor keluar-masuk kawasan masjid menandakan ada jemaah yang baru tiba. Mana yang tengah berwudhu’ nampak tidak berapa ambil pusing dengan apa yang sedang berlaku di atas mimbar. Di satu sudut masjid pula, kelihatan jemaah yang tak mendengar khutbah, leka mengunyah pisang emas dan pisang montel yang disedekah oleh orang ramai. Ambil berkat gamaknya.

Tiba-tiba tangan imam yang sedang memegang kayu mimbar, melurut ke bawah, dan beliau pun jatuh terduduk di atas kerusi khatib. Kepalanya terlentuk ke bawah. Makmum yang masih tergamam dengan peristiwa ini, segera bangun untuk melihat apa yang terjadi. Bilal menerpa ke arah imam dan ingin membantu serta menolong jika sesuatu yang buruk berlaku kepada khatib.

Imam (khatib) dipapah turun dan diletak di hadapan para jemaaah di saf
hadapan. Setelah diperiksa oleh bilal, tiada perkataan lain yang boleh
diucapkan selepas itu melainkan, “Innalillahi wainna Ilaihi roojiuun…” .
Kembalinya ke rahmatullah seorang imam yang amat berjasa pada masyarakat setempat. ada makmu yang masih terkejut dengan peristiwa ini. Ada juga yang menitiskan air mata tanda terharu. Hilang sudah sebutir permata yang baru nak berkembang mekar. Hilang juga satu cahaya yang menerangi alam yang fana ini.

Yang uniknya kata ustaz M, sewaktu imam itu menghembuskan nafas terakhirnya, jatuhnya betul-betul di atas kerusi yang berada di belakangnya dan terus sahaja duduk. Tidak jatuh tersungkur ke depan, dan tidak juga jatuh sama ada ke kiri atau ke kanan mimbar. Elok sangat duduk atas kerusi khatib, sama seperti beliau duduk sebelum memulakan bacaan khutbah tadi…dan pada masa ini juga, dipercayai, imam tersebut telah pun meninggal dunia….Jenazah pun dibawa balik untuk diuruskan…

Ustaz M pun dipanggil untuk menguruskan jenazah ini. Sebaik kain penutup mayat diselak untuk memulakan proses mandian jenazah, ustaz M begitu terkejut bercampur terharu yang amat sangat bila melihat beberapa kejadian mengkagumkan berlaku pada mayat. Apa yang terharu dan peliknya?… .Ya,Badannya jenazah itu amat berseri dan masih nampak kelihatan darah masih mengalir lagi pada seluruh tubuhnya. Seolah-olah jenazah ini masih hidup. Tidak mati gitu. Macam orang tidur aje. Dan yang lebih mengkagumkan ustaz M lagi, keluarnya satu haruman yang semerbak dari badan jenazah. Wangi sungguh! Tak pernah ustaz M mencium bau wangian sebegini rupa selama dia menguruskan jenazah lain sebelum ini! Hebat mayat ni, fikir ustaz M…

Subhanallah!

Hati ustaz M begitu melonjak girang untuk meneruskan memandikan jenazah imam sehingga selesai. Hati kecilnya berdoa ;

“Ya Allah! Engkau Maha Mulia! Engkau telah memuliakan mayat ini, maka muliakanlah ia sehingga aku selesai memandikannya. Aku begitu seronok melihat jenazah dalam berkeaadan begini. Ya Allah…Ya Allah..Ya  Allah……. ……”

Rupanya-rupanya kemuliaan jenazah imam ini tidak berakhir di situ. Doa ustaz M dimakbul Allah SWT. Menurut ustaz M lagi, sewaktu jenazah imam ini nak ditanam ke dalam liang lahad, sahabat-sahabat yang menggali kubur memberitahu, muncul pula pelbagai jenis bunga-bungaan yang datang entah dari mana, turut berada di dalamnya . Masa gali tadi takde. Elok aje mayat sampai, banyak pula munculnya. Cantik sungguh liang lahad dengan dihiasi bunga-bungaan tersebut, seolah-olah sedang meraikan dan menanti kedatangan bakal penghuni syurga!

SUBHANALLAH! SUBHANALLAH!

Tak tau apa lagi nak cakap betapa Allah SWT telah pun meletakkan hamba-Nya ini di maqam tertinggi dan dimuliakan Tambahan pula, ianya sudah pun dipertontonkan pada umat Islam lain, agar memahami dan menegerti bahawa inilah balasannya. pada orang yang beramal soleh serta taat dan patuh pada perintah-Nya! Sesungguhnya Allah itu tidak memungkiri janji-NYa!

Seperti biasalah, ustaz M pasti tak akan puas hati kalau tak bertanya pada isteri yang dimuliakan Allah imam tersebut tentang apakah amalan si arwah pada masa hidup sehinggakan jenazahnya mendapat pengikhtirafan sebegitu rupa sejak dari alam dunia lagi. Menurut kata isteri arwah imam tersebut, sepanjang dia hidup bersamalah, perkara yang dia perasan, amalan imam itu semasa hayatnya kalaulah ia boleh dijadikan ukuran, ialah tidak pernah meninggalkan solat sunat Dhuha dan solat sunat Witir.

Inilah amalan istiqamahnya. Setiap malam, sebelum arwah menutup dairi kehidupannya hari itu dan tidur, pasti dia akan menunaikan solat witir. Setiap hari, sehinggalah ke pengakhiran hayatnya, ditambah pula oleh amalan-amalan lain yang dilakukan sebagai seorang yang menjawat jawatan sebagai seorang imam untuk kawasan tersebut. Wallahua’lam.

“Sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam” yang didoakan oleh Nabi Yusuf dalam Surah Yusuf, ayat 101 yang berikut:

[101] “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”.

SEBARKAN PADA YANG LAIN…..

Cerita ini saya dapat dari email yang telah diforwardkan, moga-moga jadi ikhtibar untuk memperbanyakkan membuat kebaikan. Samata-sama kita mengambil pengajaran dan peringatan dari cerita ini. 

Read More......

Dr. Danial Zainal Abidin di Bintulu


 Makluman kepada semua pencinta ilmu khususnya seluruh ahli RIBAT dan warga Bintulu agar sama-sama dapat mengambil bahagian di dalam Program bersama Dr Danial Zainal Abidin yang akan berlangsung sebagaimana jadual berikut ;



Klik imej diatas untuk besarkan

Program ini adalah anjuran bersama JAKSA, JAIS, JIM, PPI SMK Bandar, UPMKB, Masjid Assyakirin, Masjid Darul Hidayah dan Tabung Baitulmal Sarawak.

Diharap kepada semua agar dapat memanjangkan email ini kepada pencinta Ilmu agar bersama-sama mengambil bahagian di dalam majlis ilmu yang telah diatur ini.

Kita memohon kepada Allah agar memberi keberkatan sepanjang program ini diadakan dan berdoa agar masyarakat Islam di Bintulu ini akan beroleh rahmat dan inayah dari Allah.

Read More......

Anda hebat ! sahut cabaran saya

Read More......

Orang IKHLAS itu Tertindas ?

 Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa… betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak…

Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian, keseimbangan…

Lalu di pagi Jumaat ini, saya tulis satu kisah lama… sekadar untuk mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?

Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar daripada itu… benar-benarkah kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati kita ketika melalukan kebaikan kepada sesorang atau sesuatu pihak?

Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas…Amin.

Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah muhasabah di pagi Jumaat yang barakah ini…

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Read More......

Di mana kita ?

Saya tertarik untuk berkongsi cerita pada pagi ini. Semoga berita ini akan memotivasikan kepada kita khususnya yang berada di Borneo. Semoga dengan paparan kisah ini akan menjadikan diri kita berlumba-lumba untuk melaksanakan kebaikan. Insya Allah.

Pada 4/5/2010 (Selasa Pukul 10.00 pagi) saya dikejutkan dengan satu panggilan memberitahu anak saudara saya (anak abang) talah meninggal kerana mati lemas ketika keluar berdakwah selama 40 hari mengikut Jemaah Tabligh ke pendalaman Sabah. Tempat sebenar kejadian di Daerah Beluran, lebih kurang 21/2 jam perjalanan ke Bandar Sandakan.

Remaja ini bernama Muhammad Huzaifah Bin Muhammad Huzazi. Berumur 21 tahun. Pelajar Ijazah Teknologi Alam Sekitar, Universiti Malaysia Terengganu. Kami berusaha membawa balik ke rumahnya di Sabak Bernam secepat mungkin. Namun kerana peraturan dan dokumentasi, jenazah hanya berjaya di bawa balik pada keesokan harinya. Tiba di Masjid Sri Petaling sebaik sahaja solat Asar berakhir.

Sebaik sahaja kain kapan di buka saya melihat wajahnya seperti sedang tidur tanpa menunjukkan kulit pucat dan kaku seperti kebiasaan mayat. Saya teringat beberapa hadis yang memberikan tanda-tanda orang yang mati dalam keadaan baik(Husnul khatimah). Antaranya dahi berpeluh. Saya cuba mengusap dahi dan mukanya memang terasa berpeluh dan lembab. Darah juga masih mengalir segar. Ketika saya cuba menggantikan kapas di mulutnya kerana kapas tersebut telah penuh dengan darah, saya terkejut kerana darah segar merah masih keluar dari mulutnya dan mengenai kapas baru. Saya menyangkakan dia seperti masih hidup. 

Ramai jemaah selepas solat asar juga bertanya adakah benar dia sudah mati kerana nampak seperti sedang tidur. Ketika ibunya ingin menciumnya untuk kali terakhir, ibunya tertekan dadanya. Sekali lagi darah merah cair keluar dari mulutnya. Mengikut kelaziman, selepas hampir 2 hari dan disimpan didalam peti ais jenazah ketika menunggu untuk dihantar pulang, sudah tentu mayat menjadi beku dan pucat. Darah pun sudah tentu telah menjadi beku dan mati.

Namun kebesaran Allah s.w.t dan janjinya memang benar. Ketika manusia berlumba-lumba mengejar keduniaan, masih kedapatan manusia-manusia yang terpilih untuk mati syahid.

Saya terpanggil menulis dan berkongsi cerita ini kerana dalam keadaan sosial para remaja yang semakin larut dengan budaya barat, marilah kita mengajak diri kita, anak2 dan kaum keluarga untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar dan mengamalkan amal-amal Islami secara bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan suatu hari nanti kita akan TERPILIH dalam golongan orang-orang yang mati syahid di jalan Allah s.w.t.

Mengikut Ayahnya, Ayah angkatnya dan rakan2 universitinya, Huzaifah ini seorang remaja sangat berakhlak. Setiap masa terluang dihabiskan dengan berkunjung ke masjid dan surau bagi menunaikan ibadah dan kerja-kerja agama. Malahan sebahagian wang pinjamannya PTPTN; selain dari untuk yuran pengajian, digunakan untuk dakwah dan kerja-kerja agama. Malahan beliau beberapa kali memberitahu kepada ayahnya yang setiap kali cuti semester panjang, beliau akan ke Sabah kerana disana terlalu ramai orang sudah tinggal kan Islam (Murtad) dan jika masih Islam pun tapi tiada amalan Islam. Masjid dan surau kosong tiada jemaah.
Ketika selepas sembahyang Subuh hari sebelum beliau meninggal lemas ketika mandi di sungai, beliau telah berpesan kepada rakan-rakannya supaya meneruskan usaha dakwah dan mengembalikan orang-orang yang jauh daripada Islam kepada Islam semula. Amat mengagumkan dan membuatkan saya terasa amat kerdil dan tiada nilai.

Semoga roh beliau ditempatkan dalam golongan syuhada sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
PERSOALANNYA, diri kita, keluarga dan anak-anak kita bagaimana? adakah telah pasti terselamat dari seksa alam akhirat? sama-sama kita renungkan.

** gambar2 diambil ketika jenazah sampai di masjid sri petaling.





Rujukan Hadis 1:
Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: ” Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya.
1. Pemimpin yand adil;
2. pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT ;
3. seseorang yang hatinya terpaut pada masjid;
4. 2 lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT;
5. lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah;
6. seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya;
7. dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT. Hadis Riwayat Muslim

Rujukan Hadis 2:
MENINGGAL DENGAN BERPELUH DI DAHI.
Buraidah ibnul Hushaib radhiyallahu’anhu ketika berada di Khurasan menjenguk saudaranya yang sedang sakit. Didapatkannya saudaranya ini menjelang ajalnya dalam keadaan berkeringat di dahinya. Ia pun berkata, “Allahu Akbar! Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Meninggalnya seorang mukmin dengan keringat di dahi.” (HR. Ahmad, An-Nasa`i, dll. Sanad An-Nasa`i shahih di atas syarat Al-Bukhari) 

(semoga paparan ini menjadi pemangkin untuk terus melibatkan dan mengandakan usaha dakwah)

Read More......

Ingatan kepada semua guru-guru " Selamat Hari Guru "


Dedikasi untuk guru Ku

Kini anak didikmu juga telah menjadi guru

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ' Selamat Hari Guru ' kepada semua guru-guru yang telah mengajar saya sehingga saya berada pada kedudukan ini. Tanpa mereka siapalah saya pada hari ini. Berikut adalah senarai sekolah yang pernah saya belajar :
  1. SK Sungai Sireh Tg Karang ( 1983 - 1988 )
  2. SR Agama Sungai Sireh ( 1986 - 1988 )
  3. SAM Seri Desa Tg Karang ( 1989 - 1994)
  4. Kolej Islam Sultan Alam Shah ( 1995 - 1996 )
  5. Universiti Malaya ( 1998 - 2002 )
  6. Institut Perguruan Sarawak Miri ( 2005-2006 )
Terima kasih kepada semua guru-guruku, di atas tunjuk ajar dan didikan kalian, akhirnya kini saya juga bergelar guru.  Setakat saya menulis ini, sudah masuk tahun ke 6 bergelar guru, murid-murid yang pernah belajar dengan ku sudah melebihi 300 orang. Alhamdulillah. Semoga akan terus istiqamah mengajar anak-anak dengan tekun dan ikhlas, kerana selepas kematian, hanya ilmu yang bermanfaat yang diajar kepada anak-anak sebagai penyambung amalan di alam kubur. Semoga Allah mengurniakan niat yang ikhlas bagi ku.

Di doakan juga kepada semua guru-guruku agar beroleh kesihatan yang berpanjangan, dan sekiranya sudah menamatkan perkhidmatan pendidikan semoga terus bahagia bersama keluarga. Kepada guru-guruku yang telah kembali menemui Allah, saya doakan agar tenang berada di sana, dan semoga Allah mengurniakan keampunan dan keredhaan di atas usaha mendidik dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak-anak.

Semoga semua guru yang sedang bergelar guru, terus ISTIQAMAH menyampai ilmu pengetahuan kepada anak-anak dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. 

Read More......

Seminar Ekonomi Islam 2010


Penyertaan yang menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat
Bintulu – 8 Mei, Seminar Ekonomi Islam anjuran Biro Ekonomi Yayasan Amal Malaysia dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak, Bintulu Iqra’ Center dan Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu telah berjaya diadakan di Bilik Seminar Pusat Islam. Tahniah kepada AJK pelaksana yang diketuai oleh saudara Mohd Hafeiz selaku kerana telah berjaya mengadakan program ilmiah yang sangat berguna untuk semua lapisan masyarakat Islam.
Seramai 70 orang bilangan peserta yang terdiri daripada kakitangan awam, swasta, suri rumah dan remaja telah mengikuti seminar ini yang banyak membicarakan berkenaan muamalat dan kewangan Islam. Barisan tenaga penceramahnya pula merupakan orang yang mempunyai kepakaran dan pengalaman di dalam menyampaikan perkara tersebut.
Apa pun kita harapkan agar program sebegini akan diperbanyakkan dan perlu dibuka untuk agensi-agensi lain pula sebagai penganjur. Terima kasih juga kepada peserta yang memberi kepercayaan kepada Yayasan Amal Malaysia dan Bintulu Iqra’ center untuk menganjurkan program ini dan ucapan terima kasih yang tidak  terhingga kepada pihak JAIS dan Pusat Islam yang telah banyak membantu untuk menjayakan program ini.
Kongsi gambar-gambar menarik :

Kongsi gambar-gambar menarik :
Sewaktu pendaftaran peserta

Taklimat kepada para peserta oleh Saudara Mohd Hafeiz

Pengerusi Majlis yang cemerlang semasa mengacarakan majlis, tahniah

Ucapan YAM oleh Timb. Pengerusi

Tetamu VIP semasa Majlis Penutupan ' Seminar Ekonomi Islam '

Cenderamata kenangan dari pihak penganjur kepada Warisan Mukmin

Antara menu yang disediakan oleh Katering Abang Mat & Kak Jan

Kaunter pertanyaan dan pendaftaran untuk wasiat

Wartawan yang cemerlang " Ke-el " Tahniah !


Read More......

Pelayaran Kehidupan

© 2009 Pelayaran Kehidupan. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan Pelayaran Kehidupan melainkan dinyatakan sebaliknya. Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Pelayaran Kehidupan adalah hak milik mutlak empunya. Salinan dari artikel yang dikeluarkan perlu mendapat kebenaran dari admin Pelayaran Kehidupan.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP