http://www.stormreaders.net/abuierfan

Ibadah Korban dan Perasmian Surau AMAL Al Azhar Ulu Kota



Pasukan sukarelawan BIC dan AMAL Sarawak telah berjaya melakukan ibadah korban dan sekaligus melakukan upacara perasmian Surau AMAL Al Azhar Ulu Kota, Pakan. Seramai 20 orang sukarelawan telah bersama-sama menjayakan misi kali ini dengan menaiki 4 buah pacuan 4 roda.

Semua peserta berkumpul di BIC bermula jam 11 malam ( 19 Nov 2010). Selepas taklimat dan doa, semua peserta bergerak menuju ke Sarikei. Tiba di Masjid Sarikei seawal jam 5.15 pagi dan terus menunaikan Solat Subuh. Selepas itu para peserta mengurus diri di Tadika ABIM.

Pukul 9 pagi, semua peserta bergerak menuju ke ladang skim B untuk memilih lembu untuk disembelih . Tepat jam 10.15 pagi, lembu telah berjaya disembelih oleh Ust Zainol Fakri. Selesai memproses lembu lebih kurang jam 11.30 pagi kami semua bergegas menuju ke Ulu Kota kerana dikhuatiri jika lambat bergerak, ditakuti hujan akan turun yang memungkinkan kami tidak dapat sampai ke puncak bukit dengan menaiki 4WD. Kalau berjalan kaki mengambil masa 2 jam pendakian.

Alhamdulillah, kami selamat tiba di Ulu Kota pada pukul 2.00 petang. Perjalanan sangat mencabar. Menaiki dan menuruni bukit di dalam keadaan jalan yang licin. Sangat mencemaskan bagi sukarelawan yang baru pertama kali sampai ke Ulu Kota.

Penduduk kampung Ulu Kota telah bersedia menunggu kedatangan kami. Petang itu, gotong royong melapah dan memasak makanan diketuai oleh Tuan Haji Kadir dan isteri dan dibantu oleh sukarelawan lain.

Sebahagian sukarelawan telah pergi ke rumah panjang untuk menjemput masyarakat rumah panjang untuk bersama-sama ke majlis perasmian pada sebelah malamnya. Alhamdulillah, kehadiran pada malam itu amat memberangsangkan, meskipun hujan lebat.

Majlis pada malam itu dimulai dengan Solat Maghrib dan seterusnya Tazkirah bersama Ustaz Akhwan Afandi seterusnya taaruf ahli dari peserta rombongan. Majlis perasmian dilakukan selepas solat Isyak dengan dipengerusikan oleh Ust Fadzli dari HIKMAH. Saudara Azhar memulakan ucapan, kemudian diikuti ucapan dari Wakil AMAL Pusat En Johari. Seterusnya majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh Tuan Haji Omar Bin Shuib, Penasihat BIC. Pihak BIC dan AMAL juga telah menyampaikan sumbangan beras, al-Quran, barang persekolahan dan pakaian. Majlis ini dimeriahkan oleh Ust Mawi@ Akhwan Afandi yang membuat persembahan dengan membawa lagu Jamal Abdillah. Telatah Ust Akhwan Afandi sangat menghiburkan masyarakat Ulu Kota.

Selepas solat subuh, para sukarelawan telah bergotong royong membersihkan surau dan mengurus diri sebagai persiapan untuk pulang ke tempat masing-masing. Nasib kami agak baik kerana 4WD kami telah diletakkan di atas bukit yang memudahkan untuk kami bergerak pulang. Sekiranya masih diletakkan di bawah, nampak gayanya tak dapat keluar kami pada pagi itu, kerana hujan lebat pada sebelah malamnya.

Pihak AMAL Sarawak dan BIC mengucapkan jazakumullahu khairan khathira kepada semua sukarelawan di dalam Program Ziarah Dakwah, Korban dan Aqiqah serta perasmian Surau AMAL Al Azhar Ulu Kota bermula 19-21 Nov 2010. Semoga segala sumbangan kita akan diterima oleh Allah sebagai amal kebaikan dengan syarat ikhlas kerana Allah. Setinggi-tinggi penghargaan kepada penasihat BIC Tuan Haji Omar Shuib di atas kesudian untuk bersama-sama sukarelawan kali ini. Tidak ketinggalan juga wakil AMAL Pusat iaitu En Johari, En Hanif dan Ustaz Akhwan Afandi. Insyallah ada kesempatan kita akan bersama lagi untuk membuat misi di tempat dan waktu yang akan ditetapkan oleh pihak AMAL Sarawak. Siiru ala barakatillah...

0 comments:

Post a Comment

Pelayaran Kehidupan

© 2009 Pelayaran Kehidupan. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan Pelayaran Kehidupan melainkan dinyatakan sebaliknya. Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Pelayaran Kehidupan adalah hak milik mutlak empunya. Salinan dari artikel yang dikeluarkan perlu mendapat kebenaran dari admin Pelayaran Kehidupan.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP